Kehidupan dan kerjaya Fatimah_Abu_Bakar

Beliau dilahirkan pada 1955 di Pulau Tikus, Pulau Pinang[3] kepada pasangan Abu Bakar Mohd Noor yang berketurunan Bengali-Melayu dan Rohani Tan Abdullah (lahir Tan Mooi Gee) yang berketurunan Cina.[2] Fatimah mendapat pendidikan awalnya di Residency Road Girls School dan pendidikan menengah di St. George’s Girl School yang kedua-duanya terletak di Pulau Pinang. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur bagi menyambung pelajarannya dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM).[2]

Selepas tamat belajar di UiTM, beliau mendaftarkan dirinya di New Straits Times sebagai wartawan amali dan kemudiannya diterima sebagai wartawan,[3] dan seterusnya berkhidmat sebagai penulis ruangan bertajuk "I Am Women".[2] Fatimah juga mempunyai minat mendalam dalam seni teater yang dipelajari sejak bangku sekolah, dan pernah terbabit dalam pementasan di Kelab Teater Kuala Lumpur.

Sepanjang aktif dalam teater, Fatimah juga diperkenalkan dengan pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Allahyarham Mustaffa Noor.[3] Bermula dari situ, beliau mendalami banyak perkara tentang teater, lakonan dan sebagainya dan terus mengikut mereka bergiat dalam filem dan juga drama televisyen.[3]

Beliau telah dipanggil oleh pengendali televisyen berbayar, ASTRO sebagai pelatih untuk rancangan realiti TV, Akademi Fantasia di mana beliau ditugaskan melatih bakat-bakat baharu dalam bidang seni muzik dan lakonan.[3] Fatimah menubuhkan Salt Media Consultancy dan Artitude Productions yang masing-masing mengkhususkan kepada editorial, penerbitan bahan bercetak, melatih golongan korporat dalam pengucapan awam dan bakat baharu dalam bidang lakonan.[3]